Followers

Wednesday, January 9, 2019

JAWAPAN KEHIDUPAN - PENJIMATAN MASA

MOTIVASI FY - KAEDAH MENJIMAT MASA

Sampai ke topik ini pasti anda sudah tahu betapa masa sebenarnya satu komoditi yang amat penting dalam kehidupan kita sebagai manusia yang singgah di mukabumi ini. Jadi kalau kita bijak pasti kita akan menghargainya dan lebih baik lagi kalau kita dapat menjimatkannya. Analoginya mudah, kalau kita ingin jadi kaya kita mestilah tahu cara mendapatkan duit, melaburkannya dan berjimat dengannya. Kalau kita boros pasti kita akan kerugian. Kalau duit, kita guna apa yang kita perlu dan bukan apa yang kita mahu. Begitu jugalah penggunaan masa. Kita guna apa yang kita perlu dan bukan apa yang kita mahu.

Di sini saya huraikan antara kaedah menjimatkan masa.

1. Mencapai Matlamat Dalam Jangkamasa Yang Lebih Cepat

Dalam hal ini mencapai matlamat membersihkan diri dan bersiap yang boleh dicapai dalam masa kurang dari 30 minit tapi kenapa perlu kita ambil masa berjam-jam? Mandi sahaja sudah 30 minit. Mencari pakaian yang sesuai dan bertukar-tukar pakaian mengambil lagi 30 minit, bersolek dan berdandan mengambil masa lagi 30 minit, memilih tudung dan menyimpul menggayakan tudung mengambil masa lagi 30 minit. 2 jam masa diambil sebelum boleh keluar rumah. Bukankah ini pembaziran masa yang nyata?

Kalau kita membina rumah dalam masa setahun sedangkan secara puratanya orang lain boleh membinanya dalam masa enam bulan maka pastinya kita telah rugi 6 bulan. Ini kerana dalam masa setahun mereka telah membina dua buah rumah kita baru siap sebuah. Kalau diberi masa dalam masa 5 tahun mereka punya 10 buah rumah sedangkan kita hanya ada 5 buah. Jadi dalam hal ini apa juga kita lakukan pastikan kita lakukannya dengan cara yang cekap dan berkesan tanpa menjejaskan kualiti kerja yang kita lakukan itu.

Dalam aspek ini pastikan anda mencapai matlamat dalam apa juga yang kita lakukan dengan masa yang paling singkat.

2. Do It Right The First Time
Seterusnya kalau kita mengecat bilik kita menjelang hari raya, pastikan kita buat dengan betul, tak tertumpah di sini sana sehingga ia siap dengan sempurna dan dikemas dan dibersihkan semua peralatan yang terlibat. Janganlah hangat-hangat tahi ayam hingga ia tak siap dan perlu disiapkan oleh orang lain. Pasti ia membawa kepada pembaziran masa dan tenaga.
Apapun kita mesti lakukannya dengan betul kali pertama. Contoh yang lain kita mengambil peperiksaan SPM, gagal kali pertama akan menyebabkan kita terpaksa mengulangnya kali kedua dan ini akan mengambil masa setahun atau 365 hari dari hidup kita. Gagal peperiksaan di Universiti yang menyebabkan kita mengulangnya semula dan menambah semester pastinya satu pembaziran masa yang nyata.

Dalam hal ini kalau kita buat sambil lewa sesuatu pekerjaan dan terpaksa memperbetulkannya berkali-kali hingga ia selesai pastinya ia akan membuang masa kita. Dalam hal ini perancangan yang teliti sebelum fasa pelaksanaan amat penting. Perlaksanaan yang sempurna kali pertama dengan masa yang singkat pasti lebih baik!

3. Buat Dua Atau Lebih Kerja Pada Satu Masa
Salah satu cara yang terbaik untuk menjimat masa ialah untuk melakukan 2 atau lebih kerja pada satu masa. Kalau boleh jadilah seperti Leonardo Da Vincci yang boleh melukis dan menulis dengan kedua-dua belah tangannya serentak pada satu-satu masa! Ini kerana sebenarnya setiap hari pasti kita akan ada masa yang terluang, masa senggang, masa menunggu dan masa terpaksa yang perlu kita lalui.

Kita ada masa katika menunggu bas, kawan, komuter, nombor giliran di pejabat pos dan bank, menanti Grab Car MRT dan sebagainya. Maka sambil menunggu itu kita boleh gunakan masa untuk melayari internet, menjawab WhatsApp, membaca, berzikir dan sebagainya. Masa dapat dijimatkan dan dapat diisi dengan aktiviti yang berfaedah.

Masa dalam bas, dalam train, dalam kereta yang dipandu kawan kita juga boleh melakukan perkara yang sama. Kalau di negara maju seperti Jepun dan Jerman maka kita akan dapat lihat kebanyakan rakyatnya membaca buku ketika berada dalam train. Mengisi masa tersebut sambil menunggu dalam perjalanan untuk sampai ke destinasi atau mengisinya dengan aktiviti seperti yang saya nyatakan sebelum ini mahupun untuk merapatkan hubungan silaturrahim dengan berbual mahupun berkenalan.

Kita boleh duduk buang air besar sambil membaca, memandu sambil berfikir, berzikir atau mendengar rancangan ugama atau perniagaan, mencuci bilik air sambil mandi, menonton TV sambil mengajar anak menyiapkan kerja rumah dan sebagainya. Dapat sempurnakan dua matlamat pada satu-satu masa. Apa yang penting di sini ialah aktiviti itu adalah aktiviti yang berfaedah dengan matlamat yang bakal menguntungkan anda dalam jangkamasa panjang.

4. Belajar Dari Pengalaman Orang Lain
Masa hidup ini terlalu pendek untuk kita menguasai semua perkara jadi cara yang paling mudah atau jalan pintasnya ialah untuk mempelajarinya dari pengalaman orang lain.

Kalau nak berjaya contohnya cari sahaja orang yang berjaya dan tanya dari mereka akan apakah rahsia kejayaan mereka. Kalau tidakpun bacalah buku-buku bagaimana mereka boleh berjaya. Buku-buku yang menceritakan tentang kejayaan seseorang ikon baik dalam zaman ini mahupun zaman yang sebelumnya ini bersepah dalam pasaran untuk kita beli dan baca. Ambil prinsip pegangan mereka, buat duplication atau tiru sahaja berdasarkan kejayaan yang telah mereka kecapi itu. Saya yakin lambat laun anda juga akan mendapat hasil yang serupa.

5. Menggunakan Masa Orang Lain
Seterusnya kalau kita berduit kita boleh upah sahaja orang lain untuk menjalankan kerja kita itu. Dengan itu kita menjimat masa kita kerana kita menggunakan masa mereka. Lebihan masa yang kita ada pula boleh kita gunakan untuk menjalankan projek yang lain pula. Inilah teknik yang digunakan oleh para tauke dan ahli perniagaan yang berjaya. Menggunakan duit dan manpower atau tenaga manusia untuk menjana keuntungan buat mereka. Lagi banyak modal yang digunakan dan lagi ramai pekerja yang digunakan maka lagi banyaklah pulangan kewangan yang bakal mereka perolehi.

6. Menggunakan Teknologi
Kalau dahulu sebagai contoh menjalankan pemasaran perniagaan akan mengambil masa yang panjang namun dengan perkembangan teknologi semua ini boleh dilakukan dengan cepat mudah. Pemasaran internet dan sosial media telah mengambil alih kerja-kerja yang terpaksa dilakukan secara manual seperti dalam era terdahulu.

Automatian telah membantu memudahkan kerja manusia dan menjadikan kerja tersebut lebih cekap dan efisien, kemudian digitalization pula telah membantu mendekatkan pengeluar dengan pelanggan di seluruh dunia.

Jadi gunalahkanlah perkembangan teknologi dan kemaskini diri dengan teknologi yang terkini bagi memendekkan proses kerja dan seterusnya MENJIMATKAN MASA.

FY Al Haj
0166667430

https://motivasiku.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment