Followers

Monday, October 19, 2009

SIFAT DAN SIKAP ORANG YANG CEMERLANG

Bagi menyambung kajian mengenai sifat dan sikap ini, mari kita perhatikan carta di bawah ini ;

SIKAP KITA

Tiada matlamat
Pemalas
Mudah mengalah
Lembab
Melepaskan peluang
Membuang masa
Negatif

SIKAP ORANG YANG CEMERLANG

Punya matlamat yang jelas
Gigih
Tak kenal putus asa
Kreatif
Mencari peluang
Menghargai masa
Positif

Tanyalah kepada sesiapa sahaja yang berjaya, tanyalah jutawan, tanyalah seorang cendiakawan, tanyalah seorang ahli sukan yang berjaya, mereka pasti akan mempunyai sikap cemerlang sepertimana yang saya huraikan ini. Kejayaan Syed Mokhtar Al Bukhary, Shun Fujimora, Nik Nur Madihah, William Tong, George Lucas, Kolonel Saunders dan lain-lain yang akan saya sampaikan dalam buku ini bukan datang bergolek tetapi setiap seorang dari mereka punya sifat dan sikap cemerlang yang terpupuk dalam dirinya.

Sifat-sifat seperti menghargai masa, gigih, tak kenal putus asa ada saya dedahkan dalam bentuk pengisian cerita dalam buku ini. Di sini saya ingin memperkenalkan sidang pembaca yang budiman kepada sifat kreatif seorang yang cemerlang.

Sifat Kreatif
Kisah PTS Publications Sdn Bhd

Sebuah syarikat penerbitan buku bernama PTS Publications Sdn. Bhd. yang ditubuhkan di negara ini hampir sedekad yang lalu telah meningkat setapak demi setapak hingga menjadi salah sebuah syarikat penerbitan yang disegani di negara ini dengan penjualan buku bernilai jutaan ringgit setiap tahun.

Mari kita kaji sedikit sebanyak kejayaan mereka dan apakah sifat kreatif yang ada pada mereka. Pada ketika rakyat Malaysia sibuk dengan novel genre umum yang disasarkan kepada golongan dewasa, PTS mengorak langkah menerbitkan buku novel genre remaja memandangkan kajian mendapati para remaja generasi baru terdiri dari golongan yang membaca kerana sikap ini telah dipupuk oleh ibubapa generasi awalnya yang tahu akan kepentingan membaca ini.

Seterusnya pada ketika syarikat lain sibuk dengan kualiti buku, PTS pula memilih untuk mengeluarkan buku dengan kuantiti yang banyak. Tajuk-tajuknya pula dipilih dari tajuk-tajuk yang belum ada di pasaran bagi mengelakkan pertindihan. Keadaan ini memberikan pembaca pilihan yang lebih luas kalau dibandingkan dahulu. Strategi ini berhasil yang mana dewasa ini kita akan dapat lihat rak-rak buku melayu terbitan syarikat ini di pasaran yang tiada sebelum ini. Dewasa ini PTS menerbitkan lebih 400 judul setahun dengan pelbagai genre penulisan fiksyen dan bukan fiksyen, umum , motivasi, akademik dan lain-lain malah ingin menambahkannya ke 1000 judul di masa hadapan kelak.

Kemudian kreativiti pengurusan PTS berkembang dengan memperkenalkan para penulisnya, merapatkan hubungan penulis dengan pembacanya, hubungan syarikat dengan pengedarnya, menjalankan bengkel-bengkel penulisan, menerbitkan buku-buku yang diterjemahkan, memasarkan bukunya ke luar negara, mengeluarkan produk-produk merchandise, menjalankan aktiviti pemasaran aktif di internet dan banyak lagi yang mana semua ini tidak dijalankan oleh kebanyakan syarikat penerbitan yang lain. Saya yakin pihak pengurusan PTS akan terus memecahkan kepala mereka dengan sifat kreatif memikirkan jalan lain bagi mengembangkan lagi PTS ke tahap yang lebih tinggi. Jadi tak hairanlah sekiranya mereka akan terus menguasai peratusan pasaran pembukuan di negara ini.

Jadi, kesimpulannya sifat kreatif ini adalah salah satu sifat positif dalam rangkuman sifat-sifat cemerlang yang lain. Oleh itu untuk berjaya kita mesti menyiapkan diri dengan memupuk semua sikap positif ini ke dalam diri dan kemudiannya mempraktikkannya dalam kehidupan seharian walau dalam apa juga yang kita usahakan. Maka saya yakin kecemerlangan bakal menjadi milik anda!

Fikir-fikirkanlah..

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kelemahan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.

Ikhlas dari,

Faizal Yusup

Email : greng70@yahoo.com
http://faizalyusup.blogspot.com
Tel : 03-7625 9033
Hp : 012-654 0130

Petikan dari buku Anda yang Cemerlang

Friday, August 28, 2009

Kisah pendekar 4 bahagian 4

Nak tahu apakah sambungan Kisah Pendekar yang saya selitkan dalam buku ini? Mari kita lihat sambungannya.

Mungkin anda pernah menonton cerita Karate Kid. Cerita mengenai seorang budak remaja yang ingin belajar seni pertahanan diri Karate dengan seorang guru bernama Mr. Miyagi.

Apa yang pelik ialah sebagai permulaan gurunya menyuruh dia menyental lantai dengan berus dengan gerakan berputar. Selepas tangan kanan tangan kiri. Keesokan harinya dia menyuruh hero itu untuk mengecat dinding ke atas dan ke bawah dan begitulah juga hari-hari yang seterusnya.

Lambat laun hero menjadi marah kerana dia ingin berlatih Karate tetapi asyik disuruh mengemas.

Namun demikian ada tujuan tersirat kenapa gurunya menyuruh dia berbuat demikian. Rupa-rupanya ia adalah jurus gerakan yang bertujuan untuk pertahanan. Bila musuh memukul, gerakan membulat, ke atas dan ke bawah itu dapat menepis pukulan musuh.

Begitu jugalah dalam kisah Pendekar. Selama tiga bulan pertama mereka hanya disuruh mengemas, mengecat, menimba air di perigi dan membawanya ke puncak gunung, memotong pokok, menebas serta membersihkan kawasan sekeliling dan sebagainya sepertimana kisah Karate Kid tadi. Hang Dua tak tahu apakah yang tersirat dari semua kerja-kerja ini.

Pada suatu hari dia berkata kepada kedua-dua rakannya,

“ Mungkin Pendekar Mastur ini pendekar tipu yang tak tahu mengajar silat kerana selepas tiga bulan kita hanya disuruh mengemas dan dijadikan orang suruhan. ” Luah hatinya.

“ Habis tu kau nak buat apa? ” Tanya Hang Empat.

“ Aku dah tak larat dan aku mahu pulang ke kampung tetapi sebelum aku mengalah aku mahu mengujinya. ” Jawabnya bersemangat.

“ Besok semasa menebas aku akan menyerangnya dengan parang ini. ” Sambungnya sambil menunjukkan parang panjang yang digenggam erat.

“ Kau ni dah gila agaknya Dua. ”

“ Ah! Aku tak peduli. Lagipun dia dah tua dan selalunya hanya mencangkul batas di hujung sana. ” Sambil menghalakan jarinya ke sebuah pondok dalam kawasan itu.

Keesokan harinya...

Sepertimana kebiasaannya selepas subuh dan bersarapan mereka disuruh untuk menyambung kerja-kerja menebas. Pendekar Masturpun mengambil cangkulnya menuju ke arah pondok kecil di hujung sana. Tak semena-mena Hang Dua terus menerjah dan menyerang Pendekar Mastur dengan melibaskan parang panjangnya. Pendekar Mastur pantas mengelak sambil menghalakan batang cangkulnya serong ke arah libasan parang Hang Dua.

Libasan parang panjang Hang Dua menyebabkan batang cangkul terpotong menyerong dan menjadikannya runcing. Tak semena-mena batang cangkul itu menjadi senjata dan menghunus di leher Hang Dua.

Hang Dua begitu terkejut dan terpaku. Serangannya disanggah hanya dengan satu gerakan. Satu jurus yang cukup membuktikan kehebatan pendekar ulung yang terkenal di seluruk pelusuk tanah air itu. Terbeliak keempat-empat biji mata Hang Tiga dan Empat menonton drama yang terjadi di hadapan mereka. Buat seketika drama itu seakan terhenti, terpaku tanpa gerakan.

Hanya permohonan kemaafan yang dapat dilafazkan oleh Hang Dua selepas dari itu. Malam itu Hang Dua menerangkan sebab kenapa dia menyerang Pendekar Mastur dan Pendekar Mastur faham kerana peristiwa yang sama pernah berlaku dahulu. Katanya dalam hidup kita kena selalu bersedia kerana kebanyakan dugaan yang datang bukanlah sesuatu yang boleh dijangka.

Hang Dua berasa sangat bersalah lantas mengambil keputusan untuk berhenti berlatih dan kembali ke kampungnya. Maka tinggalkan Hang Tiga dan Hang Empat yang masih meneruskan latihan untuk menjadi pendekar di puncak gunung tersebut.

Pada satu malam setelah selesai mengemaskan seluruh kawasan persilatan, Pendekar Masturpun menerangkan kepada mereka berdua sebab musabab kenapa untuk sekian lama dia menyuruh mereka mengemaskan tempat itu. Pertamanya dia mahu menguji kesabaran mereka. Kesabaran dan ketabahan amat penting dalam ilmu persilatan kerana dia tak mahu anak didiknya nanti menyalahgunakan ilmu persilatan yang bakal diajarnya. Kisah Hang Dua dijadikannya contoh.

Seterusnya, tujuan dia menyuruh menimba dan mengandar air dari perigi ialah untuk meningkatkan stamina serta menguatkan otot-otot kaki mereka. Tujuan mengecat dengan kaedah yang tertentu itu ialah untuk mengukuhkan jurus pertahanan dan tujuan menebas serta memotong pokok pula adalah bagi tujuan penyerangan.

Seperkara lagi Pendekar Mastur menerangkan yang dalam kehidupan setiap perkara punya dua sudut. Sudut yang tersurat dan sudut yang tersirat. Apa yang kelihatan pada mata kasar tak semestinya menerangkan keadaan yang sebenarnya. Kita mesti selalu peka untuk meneliti dan mengambil iktibar dari setiap kejadian.

“ Kamu berdua telah melepasi semua ujian ini. Maka bersedialah untuk ke peringkat yang seterusnya. ” Hujah Pendekar Mastur lagi.

Petikan dari buku Aku Yang Cemerlang