Followers

Thursday, January 10, 2019

JAWAPAN KEHIDUPAN - NILAI DAN HARGA MASA

MOTIVASI PERCUMA - NILAI DAN HARGA MASA

Sebenarnya semasa kita muda remaja nilai masa kita tidak begitu berharga kalau dibandingkan dengan orang yang sudah berumur. Manusia umpama pokok kelapa lagi berumur lagi berharga. Ini kerana semakin kita dewasa peruntukkan masa kita menjadi lebih berharga kerana kita punya tanggungjawab untuk mencari duit, tanggungjawab untuk mendidik, tanggungjawab untuk kerja, perniagaan, kejiranan, persatuan, ummah, bangsa dan negara tidak seperti semasa kita muda remaja.

Dewasa ini masa muda para remaja generasi ini lebih banyak digunakan sia-sia sahaja dengan tidur, bermain telefon bimbit, melayari internet, bermain game, menonton televisyen, berkaraoke, berhibur dan sebagainya.

Bila ibubapa menyuruh para remaja membantu dengan kerja rumah, membuat itu dan ini maka kita mengeluh, cuba menyuruh adik dan kakak untuk melakukannya atau kita mengelak sama sekali kerana akhirnya kita tahu kalau kita tidak melakukannya maka lambat laun pasti ibubapa kita akan melakukannya juga. Inilah yang dikatakan KEDEKUT MASA DAN TENAGA. Kita begitu mementingkan diri sendiri dan hanya ingin menggunakan tenaga dan masa kita untuk diri kita sendiri sedangkan nilai masa kita rendah harganya.

Jom kita buat perbandingan antara masa seorang remaja yang punya beberapa orang adik beradik dengan ibubapanya. Dalam hal ini remaja tersebut sedang berada dalam cuti sekolah hujung tahun, ibunya seorang suri rumah dan bapanya ialah seorang ahli perniagaan yang bekerja dari rumah.

PAGI

REMAJA
Oleh sebab tidur lewat maka bangunpun sudah tengahari
IBU
Bangun awal berkemas, mendobi, siapkan sarapan.
BAPA
Bangun awal, bersarapan pagi, buka komputer dan mula bekerja

REMAJA
Bangun melepak tengok Telefon Bimbit
IBU
Menyidai pakaian dan menyiapkan makan tengahari
BAPA
Menjalankan kerja-kerja pemasaran, operasi syarikat dan perniagaan.

TENGAHARI

REMAJA
Makan Tengahari, Lepas makan ibubapa menyuruh membantu mengemaskan meja makan dan membasuh pinggan mangkuk di singki. Buat sambil mengeluh dan bersungut.
IBU
Makan Tengahari. Lepas makan membasuh pinggan mangkuk dan Solat Zohor.
BAPA
Makan Tengahari. Lepas makan, berehat sebentar dan solat Zohor.

PETANG

REMAJA
Berbaring sambil main Sosial Media atau menonton Televisyen
IBU
Menonton Televisyen, Mengambil pakaian yang disidai, Mengemas itu dan ini.
BAPA
Menelefon pelanggan, memberi arahan kepada pekerja, merangka tugas yang perlu dilakukan besok dan sebagainya. Bawak anak-anak bermain di padang, bersenam dan bersantai. Remaja tak nak ikut.

MALAM

REMAJA
Main handphone, Tonton Televisyen, Tonton Youtube, Makan malam
IBU
Siapkan makan malam, lipat pakaian yang dibasuh siang tadi, kemas pakaian untuk dimasukkan semula ke dalam almari. Bila ibu minta remaja tolong mengeluh dan bersungut lalu buat dalam keadaan yang tidak ikhlas.
BAPA
Makan malam. Melayari internet mencari input yang berfaedah. Tonton Televisyen.

LEWAT MALAM

REMAJA
Masih melayari Internet atau menonton televisyen atau bermain games.
IBU
Tidur
BAPA
Tidur

Jadi apakah kesimpulan yang boleh kita ambil dari kajian mudah ini?
Ia jelas menunjukkan yang remaja dalam kes ini nilai masanya tidak membawa apa-apa keuntungan kepadanya malah ia lebih hanya bertujuan hiburan dan memuaskan nafsu diri sendiri sedangkan nilai masa ibunya pula lebih berharga demi kelancaran operasi sebuah rumah yang memerlukan keadaan yang bersih, makanan dan minuman yang mencukupi, cukup makan pakai dan sebagainya. Kalau tugas itu tidak dijalankan maka ia akan menyebabkan rumah kotor, bersepah, anak-anak kelaparan dan pakaian yang kotor, bertimbun, tidak berbasuh dan dilipat kemas dalam almari.

Bagi bapanya pula masanya lebih bernilai kerana ia membawa kepada keuntungan kewangan melalui perniagaan yang dijalankan mengikut peruntukan masa yang ada. Kedudukan ekonomi ini pula penting kerana dengannya ia melengkapkan operasi sesebuah institusi keluarga yang memerlukan duit bagi memastikan kelangsungan kehidupan keluarga tersebut. Duit yang bakal digunakan untuk membayar pinjaman rumah dan kereta, segala macam pinjaman serta bil-bil yang berkaitan. Malah ia juga bakal digunakan untuk perbelanjaan persekolahan dan keperluan ahli keluarga termasuklah untuk simpanan di masa depan, pergi melancong dan sebagainya.

Ketahuilah wahai para remaja sekelian akan harga dan nilai masa ini. Jadi janganlah kedekut masa dan tenaga muda anda untuk membantu ibubapa anda.

Bantulah ibu anda untuk mengemas rumah, kalau tak dapat kemaspun janganlah menyepahkannya kerana ia akan mencuri masa ibu anda untuk mengemasnya semula. Bila mengemas, kemaslah dengan betul dan betul-betul bersih kerana kalau ia dilakukan separuh jalan maka sekali lagi anda akan MENCURI masa ibu anda untuk menyambung kerja yang tidak sempurna itu. Paling tidakpun kemaslah, susunlah dan jagalah kebersihan persekitaran sendiri agar tidak menyusahkan ibubapa anda.

Bagi remaja yang punya kenderaan bantulah mereka dengan menghantar dan mengambil adik-adik ke sekolah mahupun tuisyen. Bantulah ibubapa untuk pergi membeli barang-barang keperluan rumah dan sebagainya. Kerana sudah bertahun lamanya mereka berbuat demikian untuk anda. Gunalah masa anda dan berikanlah masa anda kepada mereka untuk membuat sesuatu perkara yang lain.

Bagi remaja yang cemerlang di sekolah dan di Universiti, bantulah adik-adik dalam pelajaran mahupun pengisian ugama mereka. Takkanlah semua tanggungjawab ini diletakkan di bahu ibubapa kita buat selamanya. Bagi remaja yang cemerlang dalam sukan pula bantulah adik-adik untuk cemerlang juga. Kalau mampu bantulah bapa anda untuk menjalankan tugas menjalankan operasi perniagaannya. Bantu dalam aspek pemasaran internet contohnya. Bantulah mana yang anda tahu dan mana yang anda mampu. Kalau tak tahu belajar ilmunya dari bapa anda kerana kelak anda juga akan menjadi samaada ibu atau bapa kepada anak-anak anda sendiri di masa depan.

Masa yang anda peruntukkan atau BERIKAN kepada kedua ibubapa membantu mereka akan membolehkan mereka punya masa untuk perkara lain contohnya untuk mereka berehat kerana mereka semakin lama semakin tua, semakin tak punya tenaga mahupun untuk mereka menjalankan kerja-kerja ibadah demi mendekatkan diri kepada Allah Taala. Masa yang anda berikan kepada bapa anda pula akan membolehkan dia mencari duit yang lebih banyak, menyumbang lebih banyak masa kepada keluarga, ummah, bangsa dan negara. Pasti mereka perlukan masa tersebut dan pasti mereka akan menghargai pengorbanan anda sebagai anak yang baik dan bertanggungjawab.

Janganlah anda sebagai seorang remaja KEDEKUT MASA DAN TENAGA anda itu kerana tidak seperti duit, masa dan tenaga tidak boleh disimpan untuk kegunaan di hari tua nanti. Jadi gunakanlah ia dengan sepanjang hari untuk meringankan tugas dan tanggungjawab ibubapa anda. Lagipun walau anda tak dapat duit dari kerja-kerja yang anda lakukan itu yang pastinya anda akan dapat pahala ibadah dari Allah Taala kerana bantuan yang anda berikan kepada ibubapa serta adik beradik anda.

Itu sahaja pengisian untuk topik ini. InshaAllah kita jumpa lagi dalam topik yang lain pula.

Nukilan,

FY Al Haj
0166667430
https://motivasiku.blogspot.com/

Sekiranya anda mendapat manfaat membaca artikel ini FY harap anda dapat like dan share post ini dengan harapan ia juga membawa manfaat kepada orang yang dijodohkan dengannya.

No comments:

Post a Comment