Followers

Tuesday, January 8, 2019

MATLAMAT MASA


MATLAMAT MASA

Sebagai sambungan kepada topik dalam bab yang baru saya akan sambung dengan pengisian yang bertajuk matlamat masa. Bagi kebanyakan kita, masa berlalu tanpa kita sedari. Sepanjang hidup walaupun kita dengar pelbagai pengisian tentang pentingnya masa namun ia tetap tidak memberi erti kepada kita. Kata pujangga, masa itu emas, anda juga tahu yang orang yang berjaya adalah orang yang tahu mengurus dan membahagikan masanya. Namun, memahami teori sahaja tidak memadai melainkan ia dapat dilaksanakan secara praktikal dalam kehidupan.

Bagi mereka yang SEDAR pula maka mereka tak akan membiarkan masa berlalu begitu sahaja, walau sesaat. Pasti ada sahaja perkara yang bermanfaat yang akan mereka lakukan. Pasti ada sahaja pengisian dalam jangkamasa yang berdetik itu.

Kalau tak dapat buat dengan tangan dan kaki maka mereka bercakap, kalau tak bercakap mereka berfikir dan kalau tak ada apa yang difikirkan mereka berzikir. Itulah susun aturnya sebagai seorang Islam dalam aspek penggunaan masa.

Apa yang penting dalam penggunaan masa IALAH untuk memastikan matlamat yang kelihatan dan yang tersembunyi yang ingin kita capai.

Cuba tanya persoalan ini kepada diri ;

·        Adakah masa ini ditukar kepada perbuatan yang terpaksa
·        Adakah masa ini ditukar kepada tidur dan rehat
·        Adakah masa ini ditukar kepada keuntungan kewangan
·        Adakah masa ini ditukar kepada hiburan dan masa santai
·        Adakah masa ini ditukar kepada senaman
·        Adakah masa ini ditukar kepada silaturrahim
·        Adakah masa ini ditukar kepada kerja dan produktiviti
·        Adakah masa ini ditukar kepada kerja-kerja ibadah
·        Adakah masa ini ditukar kepada perbuatan sia-sia dan tak berfaedah
·        Lain-lain




PENGISIAN MASA

Masa Ditukar Kepada Perbuatan Yang Terpaksa
-         Mandi dan membersihkan diri, bersiap, buang air kecil dan besar, makan minum andalah antara perbuatan yang mesti kita buat sebagai manusia. Tahukah anda kalau anda malaikat anda tak perlu buat semua ini. Jadi ada masa yang terpaksa kita peruntukkan untuk semua ini sepanjang kehidupan. Pokoknya ialah kita tidak mengambil begitu banyak masa untuk aktiviti masa terpaksa ini.

Masa Ditukar Kepada Tidur Dan Rehat
-         Manusia juga perlukan rehat dan tidur. Tanpanya ia boleh menyebabkan kita sakit. Cumanya kalau kajian Barat mengatakan tidur yang secukupnya ialah 8 jam namun dalam Islam tidur yang terbaik ialah tidur Nabi Daud AS iaitu 4 jam sahaja. Dalam hal ini mereka yang banyak tidur akan melihat dunia dalam jangkamasa yang singkat.

Masa Ditukar Kepada Keuntungan Kewangan
-         Kemudian masa juga boleh ditukarkan kepada keuntungan kewangan. Aktiviti bekerja, berkarya, berniaga dan sebagainya boleh menukarkan masa tersebut kepada duit. Duit yang dilaburkan dan diberi masa akan membawa duit yang lebih banyak. Sekali lagi masa adalah kayu ukurnya.

Masa Ditukar Kepada Hiburan Dan Masa Santai
-         Manusia juga seumpama binatang yang perlukan hiburan. Jadi ada sebahagian masa yang akan digunakan untuk menonton TV, Youtube, Radio, Muzik, Karaoke, Konsert, Wayang, Spa, melancong dan sebagainya.

Masa Ditukar Kepada Senaman Dan Sukan
-         Demi menjaga kesihatan maka manusia perlukan bersenam dan bersukan. Bermacam jenis sukan dan kaedah senaman yang telah dicipta sepanjang dekad dengan tujuan yang sama iaitu untuk meningkatkan kesihatan jasmani dan mental. Jadi ada juga masa yang akan diperuntukkan untuk tujuan ini.

Masa Ditukar Kepada Silaturrahim
-         Seterusnya masa juga boleh ditukarkan kepada perhubungan silaturrahim. Yang jauh didekatkan, yang dekat dirapatkan. Baik hubungan suami isteri, anak beranak, keluarga, saudara-mara, rakan taulan dan sebagainya. Memelihara perhubungan kasih dan sayang pastinya perlukan masa untuk bersama.

Masa Ditukar Kepada Produktiviti
-         Produktiviti boleh jadi apa sahaja. Menulis, melukis, membaca buku, berkebun, menjala, memancing, berkemas, mendobi pakaian atau apa sahaja. Ia tak semestinya membawa kepada keuntungan kewangan namun ia adalah sesuatu yang boleh kita lakukan.

Masa Ditukar Kepada Kerja-Kerja Ibadah
-         Sebenarnya semua perkara yang kita lakukan berlandaskan syariat dan dilakukan dengan ikhlas akan tergolong dalam ibadah bukan hanya ritual solat, puasa, haji, umrah dan sebagainya. Kerja, membantu orang lain, berniaga malah berperang juga tergolong dalam ibadah sebenarnya. Ia membawa kepada ganjaran pahala bermatlamat syurga di akhirat. Lawannya ialah maksiat yang membawa dosa.

Masa Ditukar Kepada Perbuatan Sia-Sia Dan Tak Berfaedah
-         Tak buat apa-apa, termenung tanpa berfikir apa-apa. Melepak tanpa hala tuju, merempit dan merayau ke sana-sini tanpa tujuan dan yang seangkatan dengannya hanya akan membuang masa berharga dalam kehidupan ini.

Inilah antara matlamat yang boleh digunakan dengan masa yang anda ada dalam kehidupan sekali yang pendek ini. Jadi apakah keutamaannya? Manakah yang lebih utama dan yang lebih menguntungkan? Untung dunia? Untung akhirat? Nanti saya akan rungkaikan perihal ini dalam bab yang mendatang.

Seterusnya apakah matlamat masa anda dan berapa lamakah ia diambil untuk dicapai?

LAGI CEPAT MATLAMAT ITU DICAPAI LAGI BAIK KERANA KITA AKAN ADA MASA SENGGANG UNTUK MELAKUKAN PERKARA YANG LAIN.

Soalannya ;

·        Perlukah kita mandi dan bersiap sampai sejam sedangkan kita boleh mencapai matlamat membersihkan tubuh badan dalam masa 15 minit atau kurang?
·        Perlukah kita bermain games selama 4 jam sedangkan kita boleh mendapat kepuasan dalam masa yang jauh lebih pendek dari itu.
·        Kenapa kita mengambil masa yang begitu lama untuk melakukan sesuatu pekerjaan sedangkan orang lain boleh melakukannya dalam masa yang lebih singkat?
·        Perlukah kita menonton wayang atau rancangan TV yang sama berkali-kali. Bukankah matlamat untuk mamahami jalan cerita itu dengan hanya menontonnya sekali sahaja?
·        Kenapa kita boleh berborak kosong sambil minum teh di kedai mamak begitu lama sedangkan ada perkara lain yang lebih baik yang boleh kita gunakan dengan masa yang ada itu.
·        Perlukah kita menonton youtube begitu lama sedangkan apa yang kita tonton itu tiada matlamat yang jitu.
·        Perlukah kita menyanyi karaoke berjam-jam sedangkan kita tak perlu berbuat demikian.

Namun ;

·        Bila ibubapa minta bantu buat kerja rumah tak sabar pula kita nak menghabiskannya malah malas untuk kita melakukannya.
·        Bila mengulangkaji pelajaran tak pula kita ingin belajar lama.
·        Bila mendengar ceramah tak pula kita fokus dan menanti sehingga ia selesai.
·        Bila mengaji taknak pula kita mengaji lama.
·        Bila solat di rumah mahupun berjemaah di masjid kita tak sabar pula nak balik rumah.

Kita macam cacing kepanasan bila menjalankan kerja-kerja ibadah. Kesimpulannya bila menghabiskan masa untuk melempias nafsu kita nak lama tapi untuk ilmu mahupun matlamat ibadah kita nak cepat. Bukankah sepatutnya ia TERBALIK?

Ketahuilah hanya mereka yang BERAKAL yang akan dapat menewaskan NAFSU.

Sebenarnya tak ada salahnya kita menggunakan masa lama-lama dalam sesuatu perkara namun dalam hal ini kita kena pastikan apakah matlamat yang ingin dicapai.

·        Kita menyanyi karaoke lama-lama kerana kita ingin mempertajamkan suara untuk menjadi seorang penyanyi.
·        Kita pergi main snooker lama-lama kerana kita ingin berlatih bagi menyertai pertandingan dan kalau menang ia akan membawa kauntungan kewangan.
·        Kita menonton youtube lama-lama kerana kita ingin mencari ilmu pengetahuan bagi meningkatkan sesuatu kemahiran.
·        Kita berWhatsApp lama-lama-lama dengan tujuan meningkatkan jualan perniagaan yang kita jalankan.
·        Kita berfacebook lama-lama kerana kita sedang menjalankan usaha dakwah.
·        Kita bergayut di telefon lama-lama kerana kita ingin menjalinkan hubungan hingga membawa ke gerbang perkahwinan.
·        Kita duduk minum lama di kedai mamak kerana kita ingin melihat bagaimana mamak menjalankan operasi perniagaan kerana kita juga berhasrat untuk membuka restoran di masa akan datang.

Jadi pastikanlah underlying objective atau matlamat tersirat yang ingin dan boleh kita capai dengan penggunaan masa tersebut. Pastikan ia membawa matlamat yang baik dan banyak pada satu masa.

Contohnya seorang bapa yang sanggup sama-sama membeli set memanah demi menemani anaknya yang menyertai sukan memanah di sekolah dan mengajak anaknya berlatih memanah setiap petang bakal mendapat pelbagai manfaat antaranya ;

-         Mengeratkan silaturrahim dengan anaknya.
-         Meningkatkan kemahiran memanah anak
-         Meningkatkan kemahiran memanah dirinya
-         Memanah itu bersesuaian dengan sunnah
-         Mendapat senaman, kecergasan tubuh badan dan ketepatan pemerhatian
-         Meningkatkan peluang memenangi pertandingan yang mungkin membawa kepada keuntungan kewangan dan sebagainya.

Inilah contoh matlamat penggunaan masa yang baik dan tentunya berfaedah untuk diri kita.

Jom kita sambung penceritaan dalam bab yang akan datang. Kongsikan blog ini  andai ia bermanfaat. Sesungguhnya yang baik dari Allah SWT dan yang kurang baik adalah atas kelemahan diri saya sendiri.

Sekian dulu, Terima kasih.

Ikhlas

Haji Faizal Yusup

www.mindaakhirat.com

Haji Faizal Yusup sudah menulis 12 buah buku dalam genre umum, fiksyen, motivasi, novel dan pelaburan saham Bursa Malaysia. Pernah memenangi Dana Anugerah Penulis melalui novel Bukan Maksum dan Trilogi Man Rempit pada tahun 2012 dari Kementerian Telekomunikasi dan Multimedia. Pernah dijemput untuk menjalankan seminar, bengkel dan woksyop motivasi di sekolah dan universiti. Dewasa ini menubuhkan Yayasan Minda Akhirat dan menjalankan program motivasi Minda Akhirat. Revolusi Baru Pembangunan Sahsiah Diri.

www.bicarapelaburan.com

Beliau juga merupakan seorang Top Performing Remisier di Kenanga Investment Bank Berhad. Pemenang pelbagai Anugerah Bursa Malaysia. Mantan Naib Presiden Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia dan pernah menjadi speaker dalam RoadShow InvestSmart anjuran Suruhanjaya Sekuriti. Dewasa ini beliau sering dijemput sebagai speaker dalam seminar saham From Zero to Hero yang diiktiraf Bursa Malaysia. 

Beliau boleh dihubungi di talian 0166667430.

#mindaakhirat

#faizalyusup



Monday, January 7, 2019

KISAH MASA

WAKTU DAN JANGKAMASA

Image result for time

Setiap hari kita dikurniakan dengan 86400 saat atau 1440 minit dalam 24 jam atau sehari.

Dewasa ini secara purata jangkamasa kehidupan manusia adalah sekitar 70 tahun iaitu hanyalah sekitar 25550 hari bagi setiap dari kita. 25550 bukanlah satu jumlah yang besar kalau difikirkan, itupun untung kalau kita mati pada umur 70 tahun! Kalau tak ia jauh lebih kurang dari itu. Mati semasa bayi kerana komplikasi kelahiran, mati semasa kanak-kanak kerana lemas dalam kolam, mati ketika remaja kerana kemalangan, mati ketika dewasa kerana sakit dan oleh sebab yang banyak lagi.

Dalam hal ini kalau anda berumur 10 tahun maka 3650 hari telah berlalu dan dengan purata 25550 hari jangkahayat manusia maka anda tinggal 21900 hari lagi. Andai anda berumur 30 tahun maka ditolak 10950 yang telah berlalu maka hanya tinggal 14600 hari sahaja secara puratanya untuk anda menetap di mukabumi ini. Tempat anda akan digantikan dengan manusia yang lain.

Untuk meletakkannya dalam perspektif, mengikut kiraan tahun masihi ia telah sampai ke tahun 2018 iaitu 736570 hari sedangkan secara puratanya manusia hanya singgah di dunia ini selama 25550 hari dewasa ini dan ini bukanlah satu jangka masa yang lama. Kalau dalam perpektif akhirat pula sehari di akhirat bersamaan dengan 1000 tahun dunia di sana nanti kita akan hidup selama-lamanya maka ini bermakna kehidupan di dunia ini tak sampai pun satu saat. Bukankah ini jelas menunjukkan yang masa itu itu amat berharga buat diri kita!

Begitupun kalau difikirkan dengan masa yang begitu singkat itu manusia sejak generasi ke generasi yang satu lagi telah mencipta pelbagai penciptaan yang membawa kepada kemajuan dan pembangunan tamadun. Sehingga kini ia terus-terusan berkembang dan ditambahbaikkan bagi tujuan memudahkan kehidupan manusia. Telefon pertama yang dicipta oleh Alexander Graham Bell pada tahun 1885 telah berubah dan menjadi begitu canggih dan tak perlukan wayar lagi. Beliau yang hidup antara tahun 1847 hingga 1922 atau lebih kurang 75 tahun atau 27735 hari sempat untuk berbakti dengan mencipta telefon untuk kegunaan manusia sejagat. Tak cukup dengan itu beliau jugalah yang merupakan salah seorang pengasas National Geographic yang sering kita tonton di kaca televisyen itu. Saya yakin sekiranya dia masih hidup maka dia takkan percaya yang telefon dewasa ini boleh melakukan pelbagai fungsi, mengambil gambar dan video, bermain game, sebagai calculator, sebagai kamus dan penterjemah, menghantar mesej dan surat serta mempunyai pelbagai aplikasi dan kegunaan lagi. 

Satu masa dahulu sebelum perang dunia kedua barangan keluaran Jepun disamakan dengan barangan keluaran China yang tidak berkualiti. Kemudian barangan keluaran Sony yang diasaskan oleh Akio Morita telah bukan sahaja mengubah perspektif dunia dengan penciptaan “Walkman” tetapi juga mengubah perspektif rakyat Jepun secara keseluruhannya. Akio Morita singgah di mukabumi ini selama 78 tahun dari tahun 1921 hingga ke tahun 1999 atau sekitar 28470 hari namun demikian jenama Sony menjadi terkenal di seluruh dunia dan menjadi inspirasi hingga menyebabkan naiknya nama-nama seperti Toyota, Honda, Suzuki, Toshiba, Aiwa, Mitsubishi, Hitachi dan banyak lagi.


Image result for doraemon

Fujiko F Fujio pula singgah di dunia hanya selama 62 tahun atau 22630 hari dari tahun hingga 1933-1996 namun pada tahun 70an beliau telah mencipta  Doraemon. Karakter kartun yang akhirnya dikenali di seluruh dunia. Di Jepun kartun Doraemon ini sebenarnya secara tak langsung menerapkan nilai penciptaan dalam diri seorang budak yang mana ia bertujuan melatih minda seorang budak kecil untuk berfikir di luar kotak. Walaupun penciptaan dalam kartun tersebut bersifat dongengan seperti Lubang Masa, Teh Penjelajahan, Mesin Permainan yang buat kacang, Loceng Idaman, Buluh Terbang, Lampu Suluh Membesar dan sebagainya tetapi semua ini adalah sesuatu yang berada di luar tempurung pemikiran kebiasaan. Budak yang terdedah dengan Doraemon ini kemudiannya bila membesar kelak bakal menjadi pencipta yang baik. Oleh sebab itulah kita dapat lihat pebagai penciptaan teknologi yang datang dari Jepun disebabkan penerapan nilai kemahiran yang telah disampaikan sejak kecil lagi.

Malangnya di sini kanak-kanak sibuk membaca majalah Lawak Kampus, komik, novel cerita hantu, menonton rancangan lawak serta perkembangan semasa para artis, bermain games serta membuang masa dengan pengisian yang tak berfaedah, tanpa matlamat.

Image result for bruce lee

Anda kenal dengan Kurt Cobain? Penyanyi utama kumpulan rock alternatif bernama Nirvana. Beliau hidup hanya selama 27 tahun antara tahun 1967 hingga 1994 atau 9855 hari sahaja namun dia begitu terkenal di dunia lebih-lebih lagi di Amerika Syarikat. Kalau anda tak kenal Kurt Cobain pasti anda akan kenal dengan Bruce Lee ahli pertahanan diri Jeet Kun Do salah satu cabang Kung Fu yang begitu terkenal di negara China. Beliau hidup dari tahun 1940 hingga 1973 dan meninggal dunia pada umur 33 tahun atau 12045 hari sahaja. Bagaimana dalam jangkamasa kehidupan yang begitu singkat beliau boleh dikenali di seluruh dunia? Bagaimana pula dengan kita?

Saya boleh memberi beribu contoh tentang para pencipta dan mereka yang terkenal mati begitu muda dari seluruh dunia dari era yang berbeza namun ia tetap membawa kepada persoalan yang sama. Soalannya di sini apa pula sumbangan kita kepada manusia sejagat di mukabumi ini? Apa yang dapat kita cipta? Takkanlah kita dilahirkan hidup, bertebaran di muka bumi dan kemudiannya mati kembali ke dalam tanah tanpa diingati oleh sesiapapun. Itukah sahaja matlamat kita?

Melihat dari perspektif lain pula, kita juga tidak ditakdirkan hidup di zaman moyang kita dimana keadaan begitu susah melalui penjajah, zaman perang dunia pertama dan kedua. Nak cari makan susah, nak cari duit pun susah, terpaksa menebang hutan meneroka tanah dan bercucuk tanam demi sesuap nasi. Semua kemudahan serba tiada. Mandi di perigi dan buang air besar di tepi sungai. Tiada TV, tiada penyaman udara, tiada peti sejuk tiada telefon pintar dan sebagainya. Rumah diperbuat dari kayu dan bila malam ia diterangi dengan lampu pelita yang serba malap. Bagaimana rasanya kalau anda dilahirkan dan ditakdirkan hidup di zaman itu?

Begitu juga kemungkinan besar kita tidak hidup di zaman cicit kita nanti untuk melihat mereka membesar kerana pada masa itu kita telahpun meninggalkan dunia ini. Kita tak ditakdirkan hidup di  zaman akan datang yang mana mungkin pada masa itu kereta, motosikal dan basikal boleh terbang, kenderaan menjadi lebih laju, lebih canggih dan tanpa pemandu untuk kemana-mana, teknologi komputer dan komunikasi jauh lebih canggih dan sebagainya.

Atas sebab yang tertentu kita dihidupkan di zaman ini. Zaman moden, zaman sains dan teknologi atau dalam pandangan Islam pengakhir zaman. Jadi persoalannya apakah fungsi diri kita dan apakah yang perlu kita lakukan bagi memakmurkan kehidupan sepanjang kita SINGGAH di mukabumi ini? Sebenarnya tak kesahlah walau kita dilahirkan dalam mana-mana zaman sekalipun. Yang penting kita menjadi penyumbang kepada kemakmuran bumi ini bukan hanya sebagai pemerhati, melalui kehidupan begitu sahaja malah lebih teruk lagi menjadi perosak!

Pernahkah anda menziarah kubur? Cuba lihat sekeliling. Bukankah di sana terdapat banyak kubur dengan pelbagai bentuk dan keadaan. Ada yang elok, ada yang hanya tinggal batu nesan yang senget malah ada yang bersemak samun tidak terjaga. Bukankah semua penghuni kubur itu pernah hidup, tinggal dan singgah di mukabumi ini tapi kita langsung tidak mengenali mereka. Selain nama yang terpapar di batu nesan dan tarikh mereka lahir dan meninggal dunia, tiada apa yang kita tahu mengenai kehidupan mereka. Masa mereka di dunia tiada lagi, ia telah terhenti tatkala mereka meninggal dunia. Siapakah mereka? Apakah pekerjaan mereka, apakah sumbangan mereka semasa mereka hidup dan sebagainya.

Image result for kubur islam

Apa yang tinggal hanyalah batu nesan. Ada yang masih dingati dan sesekali diziarahi sanak saudara namun kebanyakannya telah lama dilupai. Adakah kita juga akan menghadapi kehidupan yang sama? Lahir singgah dan berkelana di muka bumi dan kemudiannya mati tanpa berbuat apa-apa sedangkan pada masa yang sama kita boleh menjadi luar biasa? Jadi terkenal, jadi kaya raya, jadi pemimpin yang disegani, jadi pendakwah yang hebat, jadi pencipta barang yang digunapakai seluruh dunia dan sebagainya?

Semua itu tidak mustahil kerana sudah ramai manusia yang telah mencapai tahap itu. Mereka juga seperti kita, mereka juga manusia yang punya satu otak, dua tangan dan dua kaki serupa dengan kita. Bezanya ialah kita pemalas dan suka membuang detik, waktu, saat, jam dan hari begitu sahaja. Ingatlah purata 25000 hari yang kita ada terus berdetik meninggalkan kita samaada kita sedar mahupun tidak. Sehari yang berlalu mengurangkan masa kita hidup di dunia lagi sehari! Jadi apakah yang telah kita buat pada hari itu?

Jom usahakan sesuatu untuk menjadi diri kita LUAR BIASA! 


Jom kita sambung penceritaan dalam bab yang akan datang. Kongsikan blog ini  andai ia bermanfaat. Sesungguhnya yang baik dari Allah SWT dan yang kurang baik adalah atas kelemahan diri saya sendiri.

Sekian dulu, Terima kasih.

Ikhlas

Haji Faizal Yusup

www.mindaakhirat.com

Haji Faizal Yusup sudah menulis 12 buah buku dalam genre umum, fiksyen, motivasi, novel dan pelaburan saham Bursa Malaysia. Pernah memenangi Dana Anugerah Penulis melalui novel Bukan Maksum dan Trilogi Man Rempit pada tahun 2012 dari Kementerian Telekomunikasi dan Multimedia. Pernah dijemput untuk menjalankan seminar, bengkel dan woksyop motivasi di sekolah dan universiti. Dewasa ini menubuhkan Yayasan Minda Akhirat dan menjalankan program motivasi Minda Akhirat. Revolusi Baru Pembangunan Sahsiah Diri.

www.bicarapelaburan.com

Beliau juga merupakan seorang Top Performing Remisier di Kenanga Investment Bank Berhad. Pemenang pelbagai Anugerah Bursa Malaysia. Mantan Naib Presiden Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia dan pernah menjadi speaker dalam RoadShow InvestSmart anjuran Suruhanjaya Sekuriti. Dewasa ini beliau sering dijemput sebagai speaker dalam seminar saham From Zero to Hero yang diiktiraf Bursa Malaysia. 

Beliau boleh dihubungi di talian 0166667430.

#mindaakhirat

#faizalyusup

Monday, March 24, 2014

DOA BUAT MH370

Assalamualaikum... 

Hari ini FY ingin mengambil kesempatan untuk mengungkapkan rasa sedih dan pilu atas tragedi yang menimpa penumpang dan anak kapal MH370. Innalilillah... serta salam takziah buat semua ahli keluarga penumpang dan crew yang terlibat. Al Fatihah kepada yang beragama Islam semoga Allah Taala mencucuri rahmat ke atas roh mereka.


































FY