Followers

Friday, August 28, 2009

Kisah pendekar 4 bahagian 4

Nak tahu apakah sambungan Kisah Pendekar yang saya selitkan dalam buku ini? Mari kita lihat sambungannya.

Mungkin anda pernah menonton cerita Karate Kid. Cerita mengenai seorang budak remaja yang ingin belajar seni pertahanan diri Karate dengan seorang guru bernama Mr. Miyagi.

Apa yang pelik ialah sebagai permulaan gurunya menyuruh dia menyental lantai dengan berus dengan gerakan berputar. Selepas tangan kanan tangan kiri. Keesokan harinya dia menyuruh hero itu untuk mengecat dinding ke atas dan ke bawah dan begitulah juga hari-hari yang seterusnya.

Lambat laun hero menjadi marah kerana dia ingin berlatih Karate tetapi asyik disuruh mengemas.

Namun demikian ada tujuan tersirat kenapa gurunya menyuruh dia berbuat demikian. Rupa-rupanya ia adalah jurus gerakan yang bertujuan untuk pertahanan. Bila musuh memukul, gerakan membulat, ke atas dan ke bawah itu dapat menepis pukulan musuh.

Begitu jugalah dalam kisah Pendekar. Selama tiga bulan pertama mereka hanya disuruh mengemas, mengecat, menimba air di perigi dan membawanya ke puncak gunung, memotong pokok, menebas serta membersihkan kawasan sekeliling dan sebagainya sepertimana kisah Karate Kid tadi. Hang Dua tak tahu apakah yang tersirat dari semua kerja-kerja ini.

Pada suatu hari dia berkata kepada kedua-dua rakannya,

“ Mungkin Pendekar Mastur ini pendekar tipu yang tak tahu mengajar silat kerana selepas tiga bulan kita hanya disuruh mengemas dan dijadikan orang suruhan. ” Luah hatinya.

“ Habis tu kau nak buat apa? ” Tanya Hang Empat.

“ Aku dah tak larat dan aku mahu pulang ke kampung tetapi sebelum aku mengalah aku mahu mengujinya. ” Jawabnya bersemangat.

“ Besok semasa menebas aku akan menyerangnya dengan parang ini. ” Sambungnya sambil menunjukkan parang panjang yang digenggam erat.

“ Kau ni dah gila agaknya Dua. ”

“ Ah! Aku tak peduli. Lagipun dia dah tua dan selalunya hanya mencangkul batas di hujung sana. ” Sambil menghalakan jarinya ke sebuah pondok dalam kawasan itu.

Keesokan harinya...

Sepertimana kebiasaannya selepas subuh dan bersarapan mereka disuruh untuk menyambung kerja-kerja menebas. Pendekar Masturpun mengambil cangkulnya menuju ke arah pondok kecil di hujung sana. Tak semena-mena Hang Dua terus menerjah dan menyerang Pendekar Mastur dengan melibaskan parang panjangnya. Pendekar Mastur pantas mengelak sambil menghalakan batang cangkulnya serong ke arah libasan parang Hang Dua.

Libasan parang panjang Hang Dua menyebabkan batang cangkul terpotong menyerong dan menjadikannya runcing. Tak semena-mena batang cangkul itu menjadi senjata dan menghunus di leher Hang Dua.

Hang Dua begitu terkejut dan terpaku. Serangannya disanggah hanya dengan satu gerakan. Satu jurus yang cukup membuktikan kehebatan pendekar ulung yang terkenal di seluruk pelusuk tanah air itu. Terbeliak keempat-empat biji mata Hang Tiga dan Empat menonton drama yang terjadi di hadapan mereka. Buat seketika drama itu seakan terhenti, terpaku tanpa gerakan.

Hanya permohonan kemaafan yang dapat dilafazkan oleh Hang Dua selepas dari itu. Malam itu Hang Dua menerangkan sebab kenapa dia menyerang Pendekar Mastur dan Pendekar Mastur faham kerana peristiwa yang sama pernah berlaku dahulu. Katanya dalam hidup kita kena selalu bersedia kerana kebanyakan dugaan yang datang bukanlah sesuatu yang boleh dijangka.

Hang Dua berasa sangat bersalah lantas mengambil keputusan untuk berhenti berlatih dan kembali ke kampungnya. Maka tinggalkan Hang Tiga dan Hang Empat yang masih meneruskan latihan untuk menjadi pendekar di puncak gunung tersebut.

Pada satu malam setelah selesai mengemaskan seluruh kawasan persilatan, Pendekar Masturpun menerangkan kepada mereka berdua sebab musabab kenapa untuk sekian lama dia menyuruh mereka mengemaskan tempat itu. Pertamanya dia mahu menguji kesabaran mereka. Kesabaran dan ketabahan amat penting dalam ilmu persilatan kerana dia tak mahu anak didiknya nanti menyalahgunakan ilmu persilatan yang bakal diajarnya. Kisah Hang Dua dijadikannya contoh.

Seterusnya, tujuan dia menyuruh menimba dan mengandar air dari perigi ialah untuk meningkatkan stamina serta menguatkan otot-otot kaki mereka. Tujuan mengecat dengan kaedah yang tertentu itu ialah untuk mengukuhkan jurus pertahanan dan tujuan menebas serta memotong pokok pula adalah bagi tujuan penyerangan.

Seperkara lagi Pendekar Mastur menerangkan yang dalam kehidupan setiap perkara punya dua sudut. Sudut yang tersurat dan sudut yang tersirat. Apa yang kelihatan pada mata kasar tak semestinya menerangkan keadaan yang sebenarnya. Kita mesti selalu peka untuk meneliti dan mengambil iktibar dari setiap kejadian.

“ Kamu berdua telah melepasi semua ujian ini. Maka bersedialah untuk ke peringkat yang seterusnya. ” Hujah Pendekar Mastur lagi.

Petikan dari buku Aku Yang Cemerlang